Wednesday, May 26, 2010

MANDATORI - RAMLEE AWANG MURSHID


Sinopsis : MANDATORI


Bermula dengan hukuman di tali gantung yang dikenakan ke atas seorang pemandu, Carlos menyimpan dendam menuntut keadilan. Seorang demi seorang yang menzalimi akan terpaku di mahkamah keadilan yang dicipta oleh Carlos sendiri. Dialah pendakwa raya dan dia jugalah hakim.

Bagi Carlos, peguambela sudah tidak perlu lagi kerana pendakwaan membawa erti kesalahan telah terbukti. Sesiapa yang diadilinya pasti akan menerima hukuman dengan sekali perbicaraan. Dan hukuman yang pasti ialah hukuman mati mandatori!


Harga : RM 19.90
Halaman :512

ADAM (AKU DARAH ANAK MALAYSIA) - RAMLEE AWANG MURSHID


Sinopsis : ADAM (AKU DARAH ANAK MALAYSIA)
DIA MUNCUL SECARA TIBA-TIBA. DIA MENGHILANG ENTAH KE MANA...

Bila Hilman dapat bertemu dengan anaknya Jeslina di New York setelah berbelas tahun terpisah, mereka berasa begitu bahagia. Namun, keriangan mereka diragut bila kereta yang mereka naiki terlibat dengan satu kemalangan jalan raya. Jeslina koma sementara Hilman pula dituduh memandu dalam keadaan mabuk. Dalam situasi genting itu, muncul Mia Sara, seorang petugas di Kedutaan Malaysia, Washington D.C. Melalui bantuannya, Hilman dinasihatkan ke mahkamah untuk mendapat keadilan. Namun, bila satu konspirasi untuk menutup kemalangan itu diketahui oleh Hilman, dia mengambil keputusan untuk mencari kebenaran dengan caranya.

Sebagai seorang penembak tepat dalam pasukan Polis diRaja Malaysia, survival adalah mainan hidupnya. Siasatannya terhadap konspirasi kemalangan itu akhirnya membawa beliau ke pintu White House! Dan, Hilman tidak sekali-kali terpaku di hadapan pintu itu...


Harga : RM 19.90
Halaman :584

AKU CINTA DIA - SHARIFAH ABU SALEM


Sinopsis : AKU CINTA DIA


DANIA, gadis kota yang liar, mengandung anak luar nikah. Akibat nya, papanya, Datuk Safuan mendesak agar kandungan itu digugurkan. Namun, kerana tidak mahu menanggung dosa, mamanya, Datin Kay terpaksa melarikannya ke Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah, tempat perlindungan gadis-gadis bermasalah sosial.

Sepanjang tinggal di Wadi Saffiyyah, Dania sentiasa bermunajat kepada ALLAH. Walaupun dosa yang ditanggung selama ini tidak mampu mengembalikan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu, dia pasrah. Baginya dia harus meneruskan kehidupan sehingga anaknya lahir.

Dalam diam, dia terpaut pada sifat-sifat mulia Ustaz Iqbal salah seorang tenaga pengajar di Wadi Saffiyyah. Namun, bila difikirkan, mana mungkin dirinya yang kotor jatuh hati pada insan semulia Iqbal? Sehinggalah suatu hari, dia menerima hadiah pemain MP3 dan al-Quran kecil daripada lelaki itu.

Apakah maknanya ini? Adakah Iqbal juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya? Iqbal pernah menyatakan kepadanya bahawa dia harus mencintai ALLAH dan Rasul-NYA terlebih dahulu sebelum dia mencintai sesama manusia. Dania bimbang dengan kenyataan ini. Takut dia bertepuk sebelah tangan.


Harga : RM 19.90
Halaman :512

MASIHKAH ADA KASIH - SHARIFAH ABU SALEM


Sinopsis : MASIHKAH ADA KASIH


Di manakah maruah dan harga diri seorang suami yang sanggup memperdagangkan isterinya semata-mata untuk mendapatkan sesuatu projek perniagaan?

Begitulah paparan hidup seorang tokoh korporat, Firdaus Dato’ Mohsein yang mengenepikan soal agama dalam hidupnya. Atas alasan ini, Manisah isterinya meminta cerai. Namun, konflik antara mereka semakin sukar bila keduanya berebutkan anak tunggal mereka, Syafiq.

Manisah tidak rela Firdaus membesarkan Syafiq. Dia tidak mahu kehidupan anaknya berkiblatkan barat. Jadi, dia berusaha untuk mempertahankan anaknya.

Jalan yang dilalui oleh Manisah semakin sukar bila Syafiq disahkan mengidap penyakit jantung berlubang. Manisah tidak mampu untuk membiayai perbelanjaan anaknya itu. Dan Firdaus menggunakan alasan ini untuk merampas Syafiq.

Sejak itu ibu dan anak ini terpisah jauh. Manisah sudah kering air mata untuk mencari Syafiq. Namun Firdaus tetap berdegil sedangkan Syafiq semakin tenat menanggung rindu.

Di manakah keadilan untuk ibu dan anak malang ini? Masihkah ada sisa waktu untuk mereka menyulam kasih? Hanya takdir yang menentukan.


Harga : RM 12.90
Halaman :276

PESONA RINDU - SHARIFAH ABU SALEM


Sinopsis : PESONA RINDU


RINDU bertandang ketika masing-masing didakap kesepian. Fazlan ditinggalkan Darina, isteri yang obsesi terhadap cinta, cita dan impian. Najmah pula memutuskan pertunangannya kerana tidak menyintai jejaka pilihan keluarga. Keputusan Najmah mengundang sengketa. Dia terpinggir dan kepulangannya tidak diharapkan.

Fazlan hadir memberi kedamaian. Persahabatan bertukar menjadi kekasih. Najmah menyangka yang dia hanya menghormati Fazlan sebagai majikan. Namun cinta di hatinya kian berputik biarpun dia tahu Fazlan adalah suami sahabat baiknya sendiri.

Selepas lima tahun di luar negara, Darina kembali semula. Ternyata cintanya terhadap Fazlan masih ada. Bagaimana harus Fazlan menerima Darina semula? Sedangkan dalam masa yang sama cintanya terbahagi dua untuk Najmah juga. Lalu Fazlan merahsiakan perkahwinan itu.

Najmah diburu rasa bersalah. Dia telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Darina untuk menjaga Fazlan. Bagi Najmah, cintanya hadir hanya sementara. Tidak lebih dari sebuah pesona.

Fazlan dalam dilema, siapakah yang lebih dicintainya? Najmah ataupun Darina? Namun bagi Fazlan, dia tidak rela kehilangan kedua-duanya sekali.


Harga : RM 19.90
Halaman :576

TAK SEMANIS IMPIAN - SHARIFAH ABU SALEM


Sinopsis : TAK SEMANIS IMPIAN


NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”

NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”

RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang?
“Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”

Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.


Harga : RM 19.90
Halaman :576

TIADA LAGI MIMPI - SHARIFAH ABU SALEM


Sinopsis : TIADA LAGI MIMPI

Kemunculan semula Norseha memerangkap kembali Razif di dalam dilema. Kehadirannya sungguh menyeksa, sungguh mendera. Razif tidak mampu menanganinya sendirian. Mujurlah, Badrul tampil menawarkan pengorbanan demi menjaga maruah keluarga.

Prasangka Norjinah terhadap kejujuran suami, tanda tanya dan teka-teki yang menyelubungi akhirnya terbongkar jua. Kenyataan itu juga membunuh seluruh kepercayaan dan cintanya kepada Razif. Dia berasa kebahagiaan yang dinikmati selama ini terbina dari kepalsuan dan pura-pura. Dunia Norjinah seakan berakhir di situ sahaja.

Norseha... permulaan sebuah sengketa. Rumah tangga kakak sendiri goyah gara-gara kehadirannya. Bukan godaan dan tagihan cintanya yang membuatkan semua berprasangka. Tetapi, Razif dan Norjinah saling berahsia kerana dirinya. Persoalan hanya terjawab apabila realiti terbongkar di depan mata. Namun, siapakah yang harus dipersalahkan apabila rahsia bukan lagi menjadi rahsia?

Siapakah pula yang harus mengalah apabila kepahitan bukan lagi mimpi melainkan kenyataan yang sukar ditelan? Dapatkah Razif dan Norjinah mempertahankan kebahagiaan? Dan, timbulkah keinsafan Norseha apabila diri sehina sampah terbuang yang terbiar di jalanan?

TIADA LAGI MIMPI membongkar episod luka sebuah keluarga, gara-gara kemungkaran dua insan yang tidak mengenal dosa dan pahala...


Harga : RM 19.90
Halaman :560